:
PENGENALAN / SEJARAH
Share:


PENGENALAN / SEJARAH

A) MUSLEH BHD

Musleh Bhd adalah singkatan nama bagi Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad yang merupakan sebuah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak mensasarkan keuntungan dalam usaha-usaha yang dipelopori olehnya. Ia ditubuhkan pada 04 Mei 2000 dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan nombor pendaftaran 513402-W.

Musleh menjalankan usaha-usaha untuk mengarus perdanakan pendidikan Islam melalui pendekatan berkualiti dan global. Antara tindakan yang telah diambilnya ialah memurnikan kurikulum pendidikan Islam dengan menggabungkan metodologi pendidikan tradisional serta unjuran unjuran cabaran masa hadapan berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam yang universal.

Sukatan pelajaran dan latihan diperkayakan dengan sistem penyampaian dan pedagogi terkini. Ia dipantau dan dicerap secara profesional untuk memastikan keseragaman dan berkualiti.

Musleh juga menyediakan Pentaksiran Konstruk Pelajar IKRAM-Musleh (PKPIM) dan Syahadah Pentaksiran Pelajar IKRAM-Musleh (SPPIM) yang menggabungkan penilaian holistik dan berterusan. Sijil pentaksiran dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam pendidikan mereka di sekolah rendah Islam (SRI) dan sekolah menengah Islam (SMI).

Musleh juga menjalankan kursus dan latihan berterusan kepada pendidik SRI dan SMI. Setelah tamat kursus, pendidik diberi Syahadah Perguruan SRI-SMI. Ini adalah untuk memastikan bahawa pendidik merupakan pendidik dan murobbi yang dihormati, disayangi serta berkesan dalam menjalankan tanggungjawab.

Sokongan dan sambutan dari masyarakat amat dialu-alukan bagi menjayakan sistem pendidikan Islam. Moga Allah swt merahmati kita semua dengan hidayah dan taufiq-Nya.

B) SEKOLAH RENDAH AL-HIDAYAH SERI ISKANDAR

Sekolah Rendah Al-Hidayah Seri Iskandar (selepas ini disebut SRAHSI) ditubuhkan pada Tahun 2006 yang beralamat di No 9 & 11, Jalan Maju 2, Taman Maju, 32610 Seri Iskandar, Perak. SRAHSI diwujudkan bagi menampung kapasiti murid yang berlebihan di Sekolah Rendah Al-Hidayah, Ipoh untuk menampung permintaan di kawasan Seri Iskandar, Perak yang berhampiran dengan Universiti Teknologi PETRONAS, Tesco dan Billion.

SRAHSI juga berada di bawah naungan Musleh dan didaftarkan ke Bahagian Pendidikan , Jabatan Agama Islam Perak dengan nombor pendaftaran JAIPk/SRAR/PT.70/09 dengan nombor pusat AYZ8003.

Tujuan penubuhan sekolah untuk melahirkan generasi uswah hasanah dikalangan murid-murid sekolah rendah. Oleh itu, di awal penubuhannya SRAHSI (2006) telah menerima kemasukan murid seramai 14 orang untuk Tahun 1. Manakala, pada tahun 2013 kapasiti murid seramai 190 orang daripada Tahun 1 hingga Tahun 6. Diharapkan penubuhan sekolah ini dapat memberi impak kepada dakwah Islam ke arah masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam yang sempurna.

MOTTO/TAGLINE

Bersama Membentuk dan Memantapkan Generasi Uswah Hasanah